iqra'

Remember, every single deed you have done will be written. Even the smallest one!

Friday, February 3, 2012

maulidur rasul

Kisah Rasulullah sebagai pengajaran
1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanankami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Keistimewaan Rasulullah s.a.w.
Hadis-hadis dibawah ini pula adalah tentang keistimewaan yang baginda perolehi sebagai Rasul dan kita sebagai umatnya.

1- Rasullullah s.a.w. Penghulu Manusia

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Akulah penghulu manusia pada hari Kiamat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan:- Nabi s.a.w. mengatakan sebegini untuk menceritakan nikmat Allah s.w.t. Ia juga merupakan nasihat supaya kita mengetahui hak terhadap baginda s.a.w. (Tuhfah al-Ahwazi)

2- Rasullullah s.a.w. Sebagai Rahmat

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat." (Riwayat Muslim)

3- Pendidik Insan Berakhlak Mulia

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad)

4- Keistimewaan pada Penyampaian Rasullullah

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku diutuskan denagn perkataan-perkataan yang ringkas dan padat."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan:- "perkataan-perkataan yang ringkas dan padat"; Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. kerana ia mengandungi lafaz-lafaz yang ringkas dan makna yang banyak. (Tuhfah al-Ahwazi)

5- Nabi s.a.w Mendahului Umatnya

Daripada Jundub bin Sufyan r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku mendahului kamu tiba ke kolam di syurga." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan:- "aku mendahului", menyediakan dan memberikan apa yang kamu perlukan. (Syarah Sahih Muslim)

6- Jaminan Kemenangan

Daripada Thauban r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Allah telah menghimpunkan bumi untuk aku sehingga aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaaan umatku akan meliputi keluasan bumi yang dihumpankan kepadaku." (Riwayat Muslim)

7- Kesedaran untuk Beramal

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis." (Riwayat al-Bukhari)
Keterangan:- Yakni mengetahui tentang keagungan Allah, balasan terhadap pelaku maksiat dan kegerunan yang berlaku pada saat nyawa dicabut, selepas mati, dan keadaan didalam kubur dan hari kiamat. Mengingati perkara tersebut dapat mendorong melakukan amal ibadah. (Fath al-Bari)

8- Bumi Sebagai Masjid

Daripada Jabir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Dijadikan untukku bumi sebagai masjid (tempat sujud) yang suci." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan:- Al-Khottobi mengatakan: Umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diharuskan sembahyang hanya ditempat tertentu sahaja seperti rumah ibadat dan tempat pertapaan. (Fath al-Bari)

9- Kesempurnaan Syafaat Rasullullah s.a.w.

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan:- Maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya dibinasakan, melainkan Nabi Muhammad s.a.w. tidak mendoakan sedemikian. Ini kerana baginda akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan didunia.
Hadis ini menerangkan syafaat Nabi s.a.w. dan belas kasihan baginda terhadap umatnya. Baginda mengambil perhatian terhadap kemaslahatan umatnya yang terpenting. Maka baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat ketika itu. (Fath al-Bari dan Syarah Sahih Muslim)

10- Pelbagai Golongan Mendapat Syafaat

Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku boleh berikan syafaat kepada umatku yang melakukan dosa besar." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Keterangan:- Syafaat Rasullullah s.a.w. untuk orang yang melakukan dosa besar ialah dengan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Manakala syafaat baginda untuk orang yang melakukan ketaatan ialah dengan menaikkan darjat mereka. (Syarah Sunan Ibn Majah)

11- Kelebihan Selawat

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat keatas nya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)
Keterangan:- "Allah berselawat" rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah s.w.t. (Syarah Sahih Muslim)

12- Orang Bakhil yang Sebenar

Daripada Ali bin Abu Talib r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat keatasku ." (Riwayat al-Tirmizi)
Keterangan:- Orang berkenaan disifatkan sebagai bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada selawat Allah s.w.t. untuknya jika ia berselawat sekali.
Sebahagian ulama mengatakan wajib sekali selawat pada setiap kali disebut nama baginda. Menurut pandangan yang lain, wajib sekali selawat dalam satu majlis yang disebut nama baginda. Manakala ketika disebut nama baginda pada kali yang lain dalam majlis itu maka hukumnya adalah sunat. (Tuhfah al-Ahwazi)

13- Ucapan Salam Untuk Rasullullah s.a.w.

Daripada Abdullah bin Mas’ud al-Ansori r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya untuk Allah terdapat malaikat yang berlegar-legar dimuka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku." (Riwayat al-Nasa’i dan Ibn Hibban)

No comments:

Post a Comment