Orang berubah banyak sebab. Banyak sangat sebab. Ada yang berubah ke arah kebaikan, ada pula ke arah keburukan, Naudzhubillah.
Hidup memang penuh dengan ujian. Bila kena ketuk, memang sesiapapun akan berubah. Batu pun kalau diketuk boleh pecah. Cuma bagaimana kita hadapi semuanya?
Tanya sama hati. Aku mungkin ada tersilap langkah. Aku mohon rahmat Allah, ampunkan aku. Apabila hayati sirah, sungguh kisah-kisah mereka sangat menghidupkan.
Aku cuma sedikit kesal. Sedikit kesal kerana saat aku terpaksa tinggalkan mereka, situasi amat mendukacitakan. Tapi benarlah, aku tiada kuasa menentukan. Aku tak kuasa mengawal semua mengikut kehendak aku.
Kita ada Allah, Tuhan yang berkuasa, yang menciptakan kita.
Kita ada Islam, Agama cara hidup yang selamat dan sempurna, yang datang benar dari Tuhan kita.
Kita ada Al-Quran dan As-Sunnah, Kitab hujjah, panduan yang lengkap untuk sepanjang hidup kita.
Kita ada Nabi, yang telah mengajar, menunjuk contoh, berpesan dan memberi peringatan pada kita.
Kesatlah air matamu! Kuatlah!
Tidak dan jangan berputus asa. Segalanya sudah pasti punyai hikmah dan sebab yang tidak kita ketahui dari Allah swt. Sama-sama renungi peringatan-peringatan ini:
Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan. (Al-An'aam 3)
Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 216)
Kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisaa' 19)
Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru. (Ath-Thalaaq 1)
Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (Al-'Ankabuut 69)
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Al-Baqarah 286)
Sabda Nabi saw: Tidaklah seorang muslim tertimpa kesakitan kerana tusukan duri, atau yang lebih sakit darinya, kecuali Allah akan menghapus dosa-dosa dengannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya. (Hr Bukhari)
Hakikat sebenar kehidupan dunia adalah tempat nikmat sementara dan ia tempat diuji untuk meraih hasil syurga di akhirat. Firman Allah swt:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada Ugama Allah). (Al-Baqarah 214)
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiyaa' 35)
Sabarlah!
Aku perlu yakin, apabila ujian menimpa, mungkin bukan setiap masa aku perlu cari jalan penyelesaiannya. Aku perlu solat dan sabar. Aku perlu berdoa. Aku perlu minta pertolongan Allah. Aku perlu redha.
Berhenti salahkan diri sendiri. Berhenti salahkan sesiapa pun. Bangkit dan berdiri!
Pasangkan angan-angan, teruskan berjalan! Berhenti bandingkan hidupmu dengan orang lain kerana engkau bukan mereka.
Yakinlah dengan khabar gembira dari Allah. Semoga itu mampu buat engkau senyum kembali
No comments:
Post a Comment